2 November  2021 11.16PM

Jumlah mangsa banjir juga semakin meningkat iaitu seramai 723 orang daripada 194 keluarga di lima daerah berkenaan. - Gambar/ APM

ALOR SETAR: Banjir di Kedah semakin memburuk apabila tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk mangsa banjir, menjadikan keseluruhan 12 PPS ketika ini.

Daripada 12 PPS terbabit, empat di daerah Kota Setar, Pendang (dua), masing-masing satu di Kubang Pasu, Pokok Sena dan Baling setakat jam 8 malam ini.

Jumlah mangsa banjir juga semakin meningkat iaitu seramai 723 orang daripada 194 keluarga di lima daerah berkenaan.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, PPS SK Haji Wahab di daerah Kota Setar menempatkan seramai 24 mangsa daripada lima keluarga.

Beliau berkata, PPS SK Tualang di Pokok Sena pula menempatkan sembilan mangsa daripada dua keluarga, manakala PPS SMK Changlun di Kubang Pasu menempatkan seramai 13 mangsa daripada tiga keluarga.

"Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kota Setar mencatatkan jumlah 269 orang daripada 77 keluarga di tiga PPS di daerah itu.

"Dua PPS di Kota Setar iaitu di PPS SK Langgar masih kekal 80 mangsa daripada 23 keluarga manakala PPS Suka Menanti menempatkan 59 mangsa daripada 21 keluarga berbanding 47 mangsa daripada 18 keluarga yang dicatatkan pada jam 4 petang tadi.

“Selain itu, PPS di SK Darul Hikmah juga meningkat seramai 106 mangsa daripada 28 keluarga berbanding 101 mangsa daripada 27 keluarga sebelum ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sementara itu Mohd Muaz berkata, jumlah mangsa banjir di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah di Pendang pula meningkat kepada 218 mangsa daripada 48 keluarga berbanding 217 mangsa daripada 48 keluarga.

Katanya, mangsa di PPS Dewan Cenderawasih di Pendang juga meningkat kepada seramai 68 mangsa daripada 22 keluarga berbanding 61 mangsa daripada 19 keluarga petang tadi.

"Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Pendang meningkat seramai 286 mangsa daripada 70 keluarga berbanding 278 mangsa daripada 67 keluarga.

"Mangsa yang ditempatkan di PPS Surau Kampung Permatang Limau di Pokok Sena pula masih kekal seramai 25 mangsa daripada lapan keluarga setakat ini," ujar Muaz.

Dalam pada itu, Mohd Muaz berkata, dua PPS di Baling iaitu di SK Siong masih kekal tujuh mangsa daripada empat keluarga dan PPS Tunku Putera seramai lapan mangsa daripada satu keluarga.

Katanya, PPS di Kampung Lembah Tradisi di Kubang Pasu pula mencatatkan jumlah 106 mangsa daripada 29 keluarga.

"Jumlah itu menurun berbanding 119 mangsa daripada 35 keluarga yang ditempatkan di situ jam 4 petang tadi," katanya.

sumber : Astro Awani

Add comment

Comments

There are no comments yet.

          Powered By

Mediautara Production